Wednesday

USMFC ke Liga Perdana 2010


Universiti Sains Malaysia (USM) melalui USM FC mencipta sejarah sebagai institusi pengajian tinggi awam (IPTA) pertama di Malaysia yang bersaing dalam Liga Perdana musim 2010 bermula pada 11 Januari lalu.

Pengurus Pasukan, Mohd Azizudin Mohd Sharif berkata,pasukan yang dahulunya dikenali dengan nama Kelab Bola Sepak Staf USM (KBSUSM) kini dikenali sebagai USM FC bagi menunjukkan penglibatan warga USM dalam pasukan yang kebanyakannya merupakan staf-staf universiti.

USM FC juga akan diperkuatkan oleh 10 pemain profesional yang pernah bersaing dalam Liga Super, Liga Perdana dan Piala Presiden.

Antaranya M. Prakash, Mohd Noraslan Md. Makhtar (Pulau Pinang) Azizul Ahmad Sabri (ATM)dan Mohd Fakhrul Radzi Yaacob (Piala Presiden Kedah)

USM FC turut mendapat khidmat bekas Ketua Jurulatih Pulau Pinang, S. Veloo sambil dibantu oleh Rosli Ali dan K. Ramajayam.

Sebagai pasukan baru dan dibarisi pemain-pemain muda, USM FC hanya menetapkan sasaran yang sederhana untuk musim 2010

“ Sasaran USM FC pada musim 2010 adalah untuk terus kekal dalam Liga Perdana, namun untuk sasaran jangka panjang, kita berharap untuk beraksi dalam Liga Super ,”katanya

“USM juga mencipta sejarahnya tersendiri apabila menjadi universiti awam pertama diberi peluang untuk menganjurkan perlawanan di Stadium USM setelah mendapat pengesahan daripada pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM),” katanya

Beliau juga mengharapkan sokongan padu daripada warga kampus USM untuk memenuhi kerusi stadium dan menyokong pasukan USM FC dalam setiap perlawanan di Stadium USM, katanya ketika ditemui semasa upacara penyerahan bendera USM.

Hadir sama ke majlis tersebut ialah Naib Canselor USM, Prof.Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak untuk sesi memperkenalkan pemain dan pengurusan USM FC.

Dalam perkembangan lain, USM FC turut menerima tajaan daripada Bahagian Penyelidikan dan Inovasi (R&I) USM bernilai RM200 000 bagi membiayai program latihan memantapkan pasukan untuk bersaing dengan lebih kompetetif dalam Liga Perdana musim 2010.

Pasukan USM FC telah memulakan saingan dalam Liga Perdana dengan menentang pasukan POS Malaysia pada 11 Januari lalu manakala pada 2 Februari hadapan pasukan USM FC akan memulakan saingan dalam pertandingan Piala FA dengan menentang Terengganu.

Pasukan lain yang akan turut beraksi dalam Liga Perdana 2010 termasuklah Sabah, Sarawak, Melaka, Felda United, Harimau Muda, Majlis Perbandaran Muar, Polis Diraja Malaysia, PKNS Selangor, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Kuantan Port.

No comments: