Monday

Rencana Naratif

Bercuti bersama-sama ahli keluarga semasa cuti sekolah merupakan sesuatu yang diimpikan oleh setiap keluarga terutama sekali kepada anak-anak. Destinasi percutian yang mendamaikan dan lari daripada hiruk pikuk kota tentunya menjadi destinasi percutian impian. Antara tempat yang menjadi tumpuan percutian pada musim cuti seperti cuti persekolahan ialah Tanah Tinggi Cameron yang terletak di Pahang.

Semasa cuti persekolahan yang lalu, saya dan ahli keluarga sempat untuk bercuti bersama-sama di Tanah Tinggi Cameron. Selepas segala perancangan diatur rapi dari segi waktu perjalanan dan tempat penginapan, kami bertolak daripada rumah di Kota Bharu, Kelantan pada awal pagi. Hal ini bagi memastikan kami sampai di Tanah Tinggi Cameron semasa hari masih siang.

Perjalanan jauh yang mungkin memakan masa enam jam ini akan melalui jalan Kota Bharu – Kuala Krai sebelum menghala ke jalan Kuala Krai – Gua Musang. Daripada rumah kami di Kota Bharu ke Gua Musang, ia akan memakan masa perjalanan selama tiga jam setengah. Selepas penat memandu, kami berhenti di kawasan hentian Rawat dan Rehat Gua Musang untuk melepaskan penat dan lelah seketika. Perjalanan ke Gua Musang digamit dengan permadangan menghijau hutan-hutan dan bukit-bukau yang belum diterokai sepenuhnya.

Tiba di Gua Musung, kami perlu menghala ke jalan Kuala Betis kemudian menghala ke Lojing. Perjalanan melalui jalan raya yang baru siap dibina ini turut dihiasi dengan bukit bukau dan hutan-hutan hijau. Sampai di Lojing , kami sudah mula merasai kedinginan udara walaupun belum sampai ke Tanah Tinggi Cameron. Lojing merupakan kawasan tanah tinggi khusus untuk tujuan pertanian seperti bunga-bungaan dan sayur-sayuran.

Selepas menyusuri perjalanan daripada Kota Bharu, kami tiba di Tanah Tinggi Cameron pada jam 2.00 petang. Mengharungi perjalanan jauh tentunya menyebabkan kelaparan dan meletihkan. Oleh itu sebelum daftar masuk di hotel, kami menjamah makan tengah hari di Kafeteria Brinchang. Walaupun cafeteria tersebut agak kecil, namun ia tetap membuatkan kami semua makan dengan penuh selera. Kedinginan Tanah Tinggi Cameron dihangatkan dengan minuman panas yang dipesan tadi.

Selesai makan, kami semua menuju ke Hotel Jasmine yang sudah ditempah sebelum kami bertolak lagi. Tempahan awal dilakukan supaya kami tidak tercari-cari hotel kerana pada musim cuti sekolah, kebanyakkan hotel di sekitar bandar Berinchang sudah penuh. Hotel yang terdapat di bandar Berinchang kebanyakkannya merupakan hotel bajet rendah dimana harga yang ditawarkan berharga antara RM150-300 untuk penginapan semalaman.

Hotel-hotel yang terdapat di Tanah Tinggi Cameron semuanya tidak menyediakan penghawa dingin ataupun kipas. Hal ini kerana kedinginan udara cukup membuatkan sesiapa sahaja berasa sejuk terutama sekali pada waktu malam. Kehadiran kami ke Tanah Tinggi Cameron sebenarnya disambut oleh hujan renyai-renyai sejak pagi lagi. Hal ini membuatkan kami berasa amat sejuk sehingga menggigil kesejukan.

Dalam suasana kedinginan dan hujan renyai, ia tidak mematahkan hasrat kami untuk melawat beberapa tempat menarik disekitar Tanah Tinggi Cameron. Kawasan pertama yang kami singgahi ialah Ladang Teh Bharat Plantation yang terletak kira-kira 10 km daripada bandar Berinchang. Kawasan penanaman teh di lereng-lereng bukit membuatkan kami teruja untuk turun ke kawasan lembah untuk melihat sendiri pokok-pokok teh.

Menurut seorang penjaga ladang tersebut, semakin tinggi pokok teh ditanam, daun teh tersebut semakin berkualiti. Kesempatan yang ada juga digunakan oleh kami untuk merakamkan gambar kenang-kenangan disebalik rimbunan pokok teh. Selepas penat meyusuri pokok-pokok teh, kami singgah di cafeteria untuk menjamu air teh yang boleh dibeli di café tersebut.

Disebabkan hari sudah hampir malam, kami mengambil keputusan untuk balik ke hotel. Suhu pada waktu lebih sejuk sehingga kami terpaksa memakai baju sejuk dan stoking untuk menghangatkan badan. Suhu dingin pada malam itu hinggakan hawa keluar daripada mulut. Hal ini membuatkan penulis berasa seperti berada di Eropah semasa musin salju.

Suasana malam di Tanah Tinggi Cameron sebenarnya lebih rancak berbanding siang hari. Hal ini kerana pasar malam yang terletak di hadapan Balai Polis Brinchang dibuka setiap malam. Pasar malam tersebut menyediakan banyak gerai-gerai yang menjual pelbagai jenis barangan. Antaranya sayur-sayuran, bunga-bungaan, kaktus dan cenderahati. Kami tidak melepaskan peluang untuk membeli belah terutama sekali sayur-sayuran segar yang dibawa terus daripada ladang. Selain itu, antara makanan paling popular dalam kalangan pengunjung ialah strawberi yang dicelup dengan coklat panas. Dengan harga yang berpatutan, ia laris sehingga penjual tidak mampu untuk melayan semua pelanggannya.

Kepenatan malam itu ditinggalkan dengan kedinginan malam yang menusuk hingga ke tulang. Namun kami semua dapat tidur dengan nyenyak. Tambahan pula banyak lagi tempat-tempat menarik yang ingin kami lawati dan singgahi keesokan harinya.

Selepas bersarapan dengan nasi lemak di sebuah restoran mamak, kami meneruskan perjalanan kami ke Stesen Mardi Cameron Highland. Walaupun tempat tersebut merupakan kawasan penyelidikan Mardi, namun ia dibuka untuk kunjungan pelawat. Selain menghayati keindahan kawasan, pengunjung juga berpeluang untuk membeli buah tangan seperti buah strawberi yang dijual dengan harga yang berpatutan. Selain itu, pengunjung juga boleh membeli pokok bunga-bunga seperti pokok orkid, kekwa dan sebagainya. Mengunjungi seseuatu tempat di Tanah Tinggi Cameron tidak sah sekiranya tidak merakamkan gambar kenang-kenangan.

Walaupun hari sudah berganjak ke tengah hari, namun kedinginan Tanah Tinggi Cameron masih lagi terasa dengan suhu berada sekitar 17-18oC. Sebelum melawati ke beberapa tempat menarik di sekitar Tanah Tinggi Cameron, kami kembali ke Hotel Jasmine untuk mendaftar keluar pada jam 12.00 tengah hari. Kemudian kami menyusuri turun ke Blue Velley untuk singgap disebuah ladang strawberi. Ladang tersebut menyediakan kemudahan petik sendiri. Peluang ini diambil oleh kami untuk memilih dan memetik sendiri buah strawberi. Harga untuk satu kilogram starawberi juga agak berpatutan. Kami juga sempat singgah di satu kawsan yang menempatkan gerai sayur-sayuran yang diusahakan oleh petani secara kecil-kecilkan. Harga yang ditawarkan juga lebih berpatutan dan murah berbanding di tempat lain.

Selesai membeli, kami meneruskan perjalanan pulang ke Kota Bharu yang pasti memenatkan tetapi berbaloi. Walaupun ia merupakan percutian yang singkat bersama-sama ahli keluarga, namun ia dapat mengeratkan hubungan diantara keluarga dan sudah tentu anak-anak berasa berbaloi dengan percutian tersebut dan akan meninggalkan satu memori indah dalam benak fikiran mereka. Cuti sekolah kali ini tentunya yang paling menyeronokkan bagi si anak.


Nota d kaki: Anda dapat feel ke pejalanan percutian yang aku karang tue??? Kalu ada plez tinggalkan komen ek.

2 comments:

Anonymous said...

tue bkn diskiptif ke

Anonymous said...

tue bkn diskiptif ke